Politik Teluk Intan


Baru-baru ni berlangsungnya PRK di Teluk Intan,
dan kemenangan berpihak kepada calon Datuk Mah Siew Keong BN.

 

MACAI POLITIK - BAYANGAN TOGHUT YANG TOGHO

Kemelut politik dan dilema pemilihan kepimpinan dan sistem sebuah negara bukan satu perkara remeh. Bila kami utarakan isu Dyana dan PRK Teluk Intan, ramailah macai yang sawan. Ya, macai tetap macai. Sudah ada mental blockage semuanya. Terlalu taksub dan sangat asobiyah. Sampai bila pun tidak boleh dineutralkan dengan hidayah Islam. Sebab itu nabi SAW kata ‘tidak Islam orang yang Assobiyah’.

Dalam membangun RPWP, kami yang dari berbagai profesyen menyatu sebagai sebuah komuniti kecil. Kami sentiasa memikirkan bagaimana sistem Islam itu boleh membuatkan satu komuniti itu hidup sejahtera, berkasih sayang dan bekerjasama. Alhamdulillah kami dapati ia amat sejahtera dan mampu mensejahterakan orang lain tanpa perlu meraba-raba dan meminta-minta. Syaratnya kita kena cari jalan, bukan mencari alasan. SODAQALLAH.. SORAQORASULULLAH.

Duduk di bumi ini tidak boleh lari dari mengambil tahu keadaan semasa juga. Melihat kekalutan sekeliling, maka terfikir juga bagaimana kesejahteraan ini boleh diperluaskan agar lebih ramai yang dapat merasa. Ini kerana ia turut menjejaskan kehidupan semua. Lalu kami buat kajian dengan sungguh-sungguh dan telus. Kami cari di mana punca sebenar dengan mengkaji sejarah pembangunan Islam sejak zaman Rasulullah SAW, langsung kepada kronologi kejatuhannya sampailah sekarang.

HAKIKAT JAHILIYAH & FENOMENA ASSOBIYAH

Bila kami luahkan dengan telus tentang situasi kejahilan kita saat ini, pastinya ia akan menampakkan kelemahan dan kelebihan semua pihak, dari dahulu sampai sekarang. Ramailah macai yang jumud mula melompat. Amboi… semua 32 juta rakyat Malaysia ni bodoh dan salah belaka, Warga Prihatin sahaja yang pandai dan betul. Itulah mentaliti macai politik yang penuh dengan sifat THOGHO.

Jika ada di kalangan 32 juta rakyat malaysia bahkan penduduk dunia sekalipun yang cukup pandai, yang benar-benar tepat ilmunya, yang melaksana dengan ikhlas dan tulus, tentu Islam dan umatnya di seluruh dunia tidak jadi semakin hari semakin teruk begini. Pasti ada yang tidak kena di mana-mana, samada kelemahan pada 'ilmunya' atau pada 'pelaksana'nya. Allah tidak pandang sepandai mana pun kita selagi ilmu yang ada tidak dilaksana dengan sempurna. (QS:5/68) (QS;61/2-4).

Fenomena yang kami temui ialah, memang ramai bijak pandai yang berilmu, namun kebanyakannya dicemari dengan nafsu dan impian diri atau kelompok sendiri. Ia digunakan untuk menguntungkan diri sendiri, samada dari segi populariti nama atau laba dunia. Firman dan hadis dimanipulasi mengikut kemahuan sendiri. Kerana ingin menjaga nama dan periuk nasi, mereka sering bertelagah dan salah menyalah. Padahal Islam mahu mereka duduk semeja dan tampung menampung sebagai satu jemaah (ULAMAK, BUKAN ALIM).

Ada pula bijak pandai yang ditaja dan dinaungi oleh pihak atau kelompok tertentu. Lalu kebijaksanaan itu juga diguna untuk memanipulasi fakta dan dakyah bagi memenuhi kehendak penaja dan kelompok mereka. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah seluruh dunia. Jangan tipu diri sendiri jika kita kata kita tidak perasan dengan situasi ini. Ada yang sekali imbas nampak mukhlis, namun bila kita ikuti lebih jauh, maka akan nampak jelas pemesongannya.

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata: Telah bersabda Rasulullah saw.; “Sudah hampir akan sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisan (resam)nya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah ini akan kembali“. (Hadis Riwayat Baihaqi)

'Kolong Langit' yang dimaksudkan itu ialah pihak atasan para ulamak yang membuatkan mereka tidak bebas berhujjah. Masjid sebagai tempat sebaran ilmu hanya menjadi tempat berhimpun untuk tujuan ritual dan ceremonial sahaja. Selain itu ia dikunci kerana bimbang dicerobohi.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya dien itu awalnya asing (dagang), dan ia akan kembali dirujuk sebagai asing (dagang). Beruntunglah bagi orang yang mengembalikan apa yang asing itu, apa sahaja yang telah dirosak manusia, daripada selepas aku, daripada sunnahku. (Hadith riwayat Muslim)

Itu adalah teks asal yang lengkap tentang hadis ini. Kini banyak tersebar ringkasannya yang berbunyi.. “ Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali dagang (asing). Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya dagang (asing)”.

Hari ini segala sunnah nabi sudah dirobah. Itu sudah menjadi lumrah yang tidak fitrah. Itu yang menyebabkan 'sejahtera' yang seharusnya didapati dari amalan keIslaman kita tidak terhasil. Cara berfikir, cara bekerja, cara berkeluarga, cara melantik pemimpin, cara memimpin, bahkan cara membaca quran sekalipun sudah dirobah. Apabila sunnah ingin dikembalikan, ia lalu kelihatan pelik dan asing.

Satu hal yang paling penting ialah, selepas kewafatan Nabi SAW, Allah tidak akan sekali kali turunkan hidayah secara kaffah kepada sesiapa secara individu, melainkan kepada JEMAAH atau majlis syuro orang-orang alim (ULAMAK). Namun apa yang kita lihat hari ini adalah sebaliknya. Masing-masing bercakap dan memutuskan perkara (fatwa) atas dasar individu (AKU). Sekali sekala kita akan dengar individu itu mengatakan ia mengikut pendapat ulamak secara umum.. tapi MAJLIS ulamak yang mana? Rupanya ulamak yang dirujuk itu juga berfatwa atas kapasiti individu. Maka hasilnya semakin hari semakin banyak perselisihan.

THOGHO & FENOMENA JAHIL, ZALIM DAN BODOH

Jahil itu tidak salah kerana kita semua memang dilahirkan jahil (QS:16/78). Yang sedih adalah sifat zalim dan menzalimi diri serta mempengaruhi orang lain. Iaitu si BODOH, yang JAHIL tapi tidak boleh DIAJAR, yang tidak mahu BELAJAR dan AMBIL PELAJARAN. Samalah orang susah yang tidak mahu ditolong. Orang sesat yang tidak mahu bertanya untuk ditunjukkan jalan, orang lapar yang tidak mahu makan. Itulah hakikat BODOH yang ZALIM.(QS:33/72)

Kebodohan kita amat menyerlah bila ramai yang masih bertanya perkara yang sudah ditulis. Nyata sekali golongan ini jenis orang yang tidak sensitif kepada ilmu. Samada kita jenis tengok gambar lalu terus lompat untuk memberi komen tanpa membaca, atau kita jenis yang membaca tapi tidak mampu memahami apa yang dibaca. Komen pula penuh dengan carut marut dan caci maki. Inilah masalah berhadapan dengan masyarakat jahiliyah yang zalim dengan ego dan bongkaknya.

Buat makluman semua, kami kumpul maklumat bukan hanya dari pembacaan dan menonton video. Kami turut berkelana mencari bukti dan maklumat hidup. Kami menjelajah ke Jepun, China, Rusia, Indonesia, Brunei, Singapura, London, Eropah, Amerika, Australia, India dan seluruh Jazirah Arab. Kami wawancara umat dunia, kami selidikki muzium mereka.

Kami juga terima pelawat dari pelbagai bangsa, pegangan agama dan dari pelbagai negara. Ada juga yang datang berkampung berminggu-minggu di RPWP untuk ikut berbakti dan berkongsi maklumat. Mereka ikut kerja, ikut syuro, makan minum dan tidur sekali. Mereka belajar dari kami dan kami juga belajar dari mereka.

Memerhati situasi dunia dan masyarakatnya, menampakkan yang kita sedang bermimpi. Kita perasan kita masih Islam kerana kita tidak mengkaji, lalu tidak mampu membayangkan bagaimanakah kehidupan Islam yang sebenarnya melalui pembacaan alquran dan kisah Nabi SAW serta para sahabat dahulunya. Selagi kita tidak mengkaji dengan mendalam dan menghayatinya, selagi itu kita akan merasa hebat dan bersangka-sangka. Tidak sedar yang kita sedang berada dalam tahap kejahilan yang parah dan huru hara.

Hasil kajian kami turut dibenarkan oleh beberapa intelek Arab. Samada yang kami wawancara di sana, maupun melalui mereka yang sedang menyambung pelajaran di sini. Kebanyakan wawancara itu ada rakamannya dan ada masa boleh kita tonton bersama. Sukar untuk kami huraikan namun kesimpulannya mereka kata Umat Arab wajib belajar dari sampel komuniti yang ada di Warga Prihatin. Mereka sendiri dengan tegas mengatakan yang umat Islam sudah tidak boleh lagi mengharapkan Arab untuk menegakkan semula agama ini.

Ia juga turut disahkan dengan bukti dari situasi dan kejadian-kejadian semasa masyarakat dunia dan tidak terkecuali di Malaysia juga. Hanya munafik sahaja yang tidak mahu mengakui bahawa kita sedang berada di tahap paling bawah dan amat parah saat ini. Islam seharusnya menguasai, namun hakikatnya kini kita yang dikuasai, malah diratah masyarakat dunia seperti serigala memakan kambing.

KEBINGUNGAN (DHOL) YANG MAKSIMA MENJEMPUT HIDAYAH

Apabila disingkap polemik Dyana dalam PRK Teluk Intan, maka nampak jelas tahap kebingungan umat dalam membuat pilihan. Lebih membingungkan lagi apabila ia diperluaskan kupasannya kepada sistem demokrasi tajaan penjajah yang menganjurkan kita memilih pemimpin dan cara bagaimana kita harus memimpin negara dan dunia ini. Itulah sistem ‘pecah dan perintah’ yang bertentangan dengan pendekatan Islam yang menganjurkan penyatuan, ‘ummatun wahidah’.

Inilah hakikat kebingungan yang maksima. Hidayah Allah hanya akan hadir dan dirasakan bernilai tinggi setelah kita mengakui yang kita telah bebar-benar bingung. WAWAJADAKA DHOOLLAM FAHADA (QS:93/1-11). Selagi kita masih tidak merasa bingung, itu tanda kita masih ego dan merasa serba cukup, serba pandai. Maka hidayah Allah tidak laku. (QS;96/4-7)

Tanpa merasa cukup bingung, tidak akan ada selera kita untuk benar benar mengkaji dan menghayati dengan sungguh-sungguh hazanah ilmu yang telah sekian lama Nabi SAW wariskan kepada kita. Untuk melaksana dengan tepat jauh sekali. Lalu bagaimana hasil baik dari sistem Islam dapat kita kecapi?

Macai yang sudah dirasuk dengan ketaksuban politik akan sentiasa berfikiran negetif. Sewaktu membaca, dalam kepala ada mental block, sentiasa mencari alasan untuk menolak, lalu bagaimana ilmu mampu dicerna? Kerana itu isi maklumat yang jelas tertera pun tidak melekat dalam kepala selepas membaca.

ISLAM LEMAH KERANA UMATNYA MALAS MEMBACA

Kesian sekali melihat atitud orang kita. Bila disuruh baca quran, maka dengan sinis bertanya mereka, admin berapa kali katam quran dalam setahun? Merungut lagi, .. admin nampak berat sebelah sebab kelemahan puak ini disebut lebih, yang satu lagi sebut sedikit saja… Komplain lagi… cerita banyak tapi tiada solusi. Padahal sudah dikiaskan solusinya dan pembaca lain dapat tangkap apa yang tersirat..!

Kami hanya tuliskan apa yang terkait dengan isu yang dibincangkan. Macai mahu kita panjangkan lagi dengan membanyakkan kutukan terhadap lawan mereka. Lepas tu minta kami tuliskan dengan jelas solusinya dalam artikel yang sama itu juga. Pada masa yang sama masing masing komplain artikel kami TERLALU PANJANG. Inilah sikap orang kita yang malas membaca atau tidak fokus dan menghayati ketika membaca. Fatihah surah pendek itu pun Allah minta kita ulang baca 17x sehari.

Islam itu agama ilmu. Sumber ilmu adalah membaca dan bertanya. Kerana itu jika kita imbas nuzul quran (turutan turunnya wahyu), maka kita lihat surah pertama ialah tuntutan MEMBACA, diminta mengakui yang kita ini jahil dan tidak tahu apa-apa, agar bacaan itu mampu mengajar kita. Juga tuntutan agar jangan merasa diri kita serba cukup. Itu akan membuatkan ilmu susah masuk dalam diri kita. Bacalah (QS:96, AL-ALAQ/1-8)

Surah kedua turun ialah bicara tulisan dan mata pena. Tuntutan agar kita menulis hasil iqra’ untuk membantu yang lain. Ayat-ayat awal surah itu menjelaskan bahawa isi tulisan kita memang jauh berbeza dan agak gila-gila. Tidak lunak isinya, namun akan dapat dilihat ciri akhlak melalui kata-katanya, itulah ‘kholqin aziim’, berakhlak tinggi. Bukan macam tulisan macai yang tidak berakhlak. Penuh dengan carut marut tapi kosong isinya. Bacalah (QS:68, ALQALAM/1-13)

Surah yang ketiga turun, QS:73, ALMUZAMMIL menuntut kita kurangkan tidur. Ketika yang lain sedang lena dibuai mimpi, kita harus bangun membaca dan terus mengkaji dengan tartil dan sabar. Mulakan bacaan dengan apa yang mudah. Jangan peduli dengan caci maki orang yang tidak mengerti. Allah tidak akan beri hidayahNya jika kita terus terusan tidur setelah mendapat hidayah.

Surah keempat, QS:74, ALMUDATSIR Allah tegur kita yang sudah jaga tapi duduk termenung sahaja. Ia menuntut kita bangkit, memberi peringatan, mengajak manusia mensucikan dan membesarkan nama Allah melalui sistem dan aturannya. Bersihkan segala kekotoran dari sistem hidup yang sedang kita PAKAI. Allah akan hentikan hidayahnya jika kita masih termenung dan teragak agak untuk membersihkan segala kecacatan cara hidup yang telah diperingatkan kepada kita.

Surah kelima, QS:1, FATIHAH: adalah pembukaan kepada segala isi kandung alquran. Di sinilah Allah lakarkan visi dan misi alquran secara keseluruhannya. Dengannya kita akan lebih bersemangat mencari maklumat tentang manual yang terkandung dalam alquran keseluruhannya untuk memenuhi misi dan visi itu. Itulah sukatan yang telah Allah tetapkan. Dalam Fatihah itu terselit segala kunci, yang membolehkan kita menemui ‘code breaking’ kepada rahsia kitab mukjizat nabi itu. Selepas itu insyaAllah semua jalan akan terbentang lurus.

KESIMPULAN

Antara ciri besar zaman jahiliyah ialah umat terlalu menyembah manusia secara individu. Itu menggalakkan manusia berbuat untuk mencari nama dan populariti. Ia berbeza dengan RPWP. Kami menulis secara NAHNIAH, tidak menampilkan mana-mana individu yang telibat dalam penulisan. Tujuan agar anda menilai ilmunya, bukan penulisnya. Ini juga untuk mengelakkan niat menulis itu tidak sekali kali terpesong dengan sikap ANANIAH (KEAKUAN), untuk mencari nama dan laba dunia secara peribadi.

Bila kami boleh rungkai masalah, pastinya kami ada jalan keluar untuknya. Kami telah sampaikan kepada beberapa pihak yang berkepentingan secara private. Tidak semuanya boleh kita tulis secara terbuka kerana bukan semua orang suka agama dan negara ini bangkit semula. Jika ada yang ikhlas ingin tahu, silakan datang dan bersemuka, secara individu atau berkumpulan. InsyaAllah kami tidak akan sembunyikan apa sahaja maklumat yang ada. Yang penting masing-masing ikhlas, lillah billah semata-mata.

Bagi yang kurang akal dan menuduh kami mahu buat parti baru biar kami permudahkan pemikiran anda. Jika kami katakan kami tidak suka dengan sistem demokrasi kepartian yang partisan dan memecah belah, mana mungkin kami akan menganjurkan perkara yang sama. Yang mengatakan kami penyokong JATI atau Datuk Hasan Ali, ANDA TERLEPAS PANDANG, sila baca semula artikel itu kerana ianya sudah kami jelaskan.

Yang menuduh maupun menganjurkan kami masuk bertanding untuk jadi pemimpin juga silap besar. Kami hanya suka kongsikan buah fikiran untuk manfaat negara dan umat dunia. Itu bukan sunnah nabi. Kami bukan jenis orang yang suka memburuk-burukkan pemimpin lalu berusaha menggulingkan sesiapa untuk merebut kuasa dan menaiki tahta. Pendekatan sebegitulah yang membuatkan nasihat kita sukar diterima oleh pemimpin yang ingin kita nasihati. Anda yang berani dan suka jadi pemimpin teruskan memimpin. Yang kami mahu ialah koreksi kepimpinan lillah billah demi kesejahteraan umat.

Sekali lagi kami ulangi. Jangan salahkan mana-mana individu atau kelompok secara spesifik. Kerosakan ini telah ditaja sejak mula. Cuma kita tidak menyedarinya. Kami yakin ramai di kalangan kita telah berusaha sedaya upaya. Cuma mungkin belum jumpa cara yang benar benar sempurna. Kita kasihkah TGNA, kita simpati pada DSAI, kita kasihan melihat kebingungan YAB DS NAJIB juga yang lain-lain. Semuanya ada kelemahan dan kelebihan. Apabila kelebihan disatukan, kelemahan pasti akan dapat diatasi.

Sumber : fb saiful nang, warga prihatin & themalaysiansider.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan