ANTARA CADBURY, BABI & KERA - ANALISA MUHKAMAT & MUTASYABIHAT
Peperangan dari isu DNA babi dalam coklat Cadbury nampaknya semakin menjadi-jadi. Sepertimana biasa, ia turut dijadikan bahan ejekan dan caci maki mengiringi scenario politik negara, khususnya dalam kegilaan berkempen dalam PRK Teluk Intan ini.
Kami tidak dapat menjawab satu persatu ajuan soalan dari pembaca mengenai pendirian kami bersabit isu ini, melainkan merangkumnya dalam satu rencana khas ini. Antara sudut penting yang banyak menjadi bahan polemik ialah pandangan fiqah secara muhkamat, sensitiviti adat budaya dan politik semasa. Namun dalam rencana ini, kami ingin memperlihatkan sudut pandang yang turut mencakupi sudut MUTASYABIHAT dari isu babi ini.
Ada banyak pandangan yang dikeluarkan oleh ilmuan yang boleh dikatakan tulus dan ikhlas dalam memberikan pandangan, bahkan telah dikeluarkan sejak 2011 lagi. Namun ramai yang lain memberikan pendapat serta tidak balas yang mengikut nafsu dan berlebih-lebihan. Lebih membingungkan umat apabila ia turut diutarakan oleh orang yang ada nama dan kepentingan diri serta kelompok yang diwakili.
ISU 'TUKAR DARAH' & TUNTUTAN GANTI RUGI
Mungkin ada wajarnya jika pihak berkuasa kerajaan mahu menyaman pihak pengeluar. Hujjah teknikal yang bernas adalah kerana telah menyelewengkan tanda halal. Produk yang dikeluarkan tidak menepati piawaian yang ditetapkan melalui syarat-syarat tanda halal itu. Seterusnya gantirugi moral, yang telah menjejaskan kesetabilan emosi dan akidah umat Islam dari perlanggaran itu, sama juga kaedahnya seperti saman malu.
Ada pula pihak NGO yang mahu menuntut RM 100 juta, sampai pengeluar ‘terbersin’ katanya. Satu pihak lagi mahu menuntut beberapa billion RM sampai pihak pengeluar berdarah, dengan ungkapan ‘make them bleeding, not just sneezing’. Jika menang nanti siapa akan terima pampasan itu? Apakah agaknya pandangan dunia dengan tidakbalas kita itu?
Tuntutan beberapa pihak agar pengeluar Cadbury membayar gantirugi untuk membayar kos melakukan ‘tukar darah’ itu bagi kami juga agak keterlaluan. Secara saintifik, belum tentu proses tukar darah itu mampu membuang semua darah yang ada dalam badan dan digantikan dengan darah yang baru. Lebih penting lagi, jika darah itu dikatakan telah mengandungi DNA babi, pastinya ada yang telah menjadi daging pula. Lalu perlu tukar daginglah jawabnya.
Keduanya, tuntutan itu akan membolehkan kita dicabar. Setiap orang Islam kena buat ujian DNA untuk memastikan darahnya ada DNA babi. Bila keputusannya positif, nanti mahkamah akan minta pula bukti yang DNA itu benar benar datangnya dari Cadbury. Sedangkan seharian kita memakan dan menggunakan ratusan jenis makanan yang mengandungi DNA babi ini. Ada yang diistiharkan, bahkan banyak yang disirkan. Cuba lihat senarai itu di link ini,
http://prihatin.net.my/v3/2014/05/28/dna-babi-keputusan-muzakarah-jawatankuasa-fatwa-majlis-kebangsaan/
Kami yakin kita sendiri sebenarnya tidak tergamak untuk melakukan penyucian darah, apatah lagi terhadap anak cucu kita. Kami yakin anda semua sedar bahawa tindakan itu malah menambah risiko dan kesilapan lain yang juga mungkin tidak disengajakan, termasuk pencemaran kuman HIV, hepatitis dan sebagainya.
Jangan lupa fikirkan di mana nak cari bekalan darah bebas DNA babi untuk kita guna bagi menggantikan darah kita itu. Jadi tidak perlulah keterlaluan.
PANDANGAN FIQH : ISU HALAL HARAM DAN DOSA PAHALA
Sebenarnya jelas sekali pedoman dari firman dan hadis bahawa sesiapa yang telah termakan makanan yang tercemar seperti ini tanpa sedar adalah TIDAK BERDOSA. Kerana itu tidak perlulah bertindak sampai mahu membersihkan darah, menyamak mulut, meminum air tanah dan sebagainya. Perbuatan itu malah akan menyusahkan umat, membuatkan agama ini dicaci serta dilihat kolot dan jumud.
Ketetapan fiqah secara muhkamat boleh kita ambil daripada firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 173 (Boleh juga rujuk DAGING BABI di QS: 5/3, 6/145, 16/115 dll. Sila perhatikan makna harfiah bertanda merah dan hurufbesar yang kami paparkan di gambar hiasan. Jelas sekali di situ larangan Allah terkait secara khusus dengan DAGING, SENGAJA, TERPAKSA, BERLEBIH-LEBIHAN dan PENGAMPUN.
Oleh itu jika sekadar terdapat pencemaran DNA apatah lagi keberadaan yang tidak disengajakan, kita pula termakan tanpa sengaja dan tidak berlebih lebihan maka ia dengan senang hati telah Allah ampunkan. Kita hanya perlu berterima kasih dan menerima keampunan Allah itu dengan rujukan yang jelas. Untuk apa lagi nak samak mulut, usus apatah lagi nak tukar darah?
Kita hidup di bumi Malaysia dan dunia yang berbilang bangsa dan agama ini saling bersahabat. Jagalah sensitiviti saudara kita yang dahulunya pernah memakan babi dan telah bertaubat. Lebih penting lagi menjaga hati saudara baharu yang dahulunya makan babi, namun telah memeluk agama ini dengan ikhlas. Perlukah mereka cuci darah?
QS: Ahzab : 5 “ Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, kecuali apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
“Sesungguhnya Allah swt melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau yang dipaksakan ke atas mereka.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah-sahih)
BABI – HUKUM ADAT & HUKUM AKAL
Anjing dan babi itu adalah mahluk Allah juga. Tiada yang batil pada setiap kejadian Allah sekalipun kita melihatnya sebagai batil (QS: 3/190-191). Semuanya ada pelajaran besar buat kita, makhluk yang bernama manusia ini. Itupun jika kita banyak berzikir, mentadarus, mentafakur, mentadabur dan mentabayunkan ayat-ayat Allah.
Secara adat, kita telah terdidik turun temurun bahawa anjing dan babi itu najis. Kita sentiasa merasa geli dan jijik dengan unsur najis itu. Terkadang sampai sanggup berlaku zalim terhadap haiwan itu. Kita lupa alquran sendiri menampakkan peranan positif pada anjing dan babi pada espek tertentu. Anjing boleh diajar berburu dan hasil buruannya halal dimakan. Babi pula terkenal dengan populasi yang banyak dan mudah membiak. Ada ketikanya unsur itu mampu menyelamatkan nyawa, samada kerana darurat pemakanan atau keperluan perubatan..
Allah sendiri katakan ‘jika terdesak’, samada secara jenayah atau secara alami, maka Allah ampunkan, asalkan tidak berlebih lebihan. Mari kita bersangka baik dengan Allah dalam menetapkan semua hukum hakam ini dan janganlah terlajak prejudis sehingga kita melangkah mendahului ketetapan Allah dan rasul. Jangan haramkan apa yang telah dihalalkan Allah atau sebaliknya (QS:5/87, 9/29, 6/140, 6/116, 3/93-94).
Isu babi ini sudah lebih kepada penekanan ADAT nampaknya. Biasa juga kita dengar doktrin songsang yang ditanamkan ke jiwa bangsa ini dengan mengatakan, sejahat-jahat orang Melayu, sebut babi, dia tetap geli dan tak mahu makan. Itu sebenarnya pendirian Melayu, bukan ketetapan Islam. Kerana itu dalam kita bertindakbalas keterlaluan dalam isu babi, kita tidak pula berhabis-habisan dalam menangani perkara lain yang jelas haramnya seperti zina, arak, riba, rasuah, korupsi, judi, salah guna kuasa dan seumpamanya.
MUTASYABIHAT BABI YANG DILUPAKAN
Quran itu diturunkan untuk memperbaiki AKHLAK, dan rasulullah SAW telah berjaya mengubah akhlak umat yang sebelum itu hidup macam kera dan babi kepada akhlak alquran. Kami ambil pelajaran dari unsur keduanya secara mutasyabihat. Bahagian babi yang Allah sebutkan haramnya itu ialah DAGING. Dalam anatomi, daging itu merujuk kepada OTOT MOTOR yang berfungsi menggerakkan tubuh. Itulah kaitan akhlak (kerjabuat) pada babi yang diharamkan untuk kita.
Mari perhatikan pula ciri biologi dan fizikal babi yang terkait rapat dengan akhlaknya. Babi adalah haiwan yang mudah membiak, sangat pengotor, makan najis sendiri, berzina dengan ibu sendiri, najisnya paling busuk, dagingnya berkuman dan bercacing, dan yang paling penting ia ada 'muncung yang hodoh semacam’. Yang menjadi pedoman penting untuk kita perhalusi, babi bersikap suka menyondol dan melanggar batas (hudud).
QS al-Maidah 5:60. Katakanlah, “Apakah aku memberitahu kamu, tentang yang lebih buruk daripada itu? Pembalasan di sisi Allah, orang yang Allah telah melaknat dan murka padanya, dan dia menjadikan antara mereka kera dan babi, dan penyembah-penyembah thaghut, mereka itu lebih buruk tempatnya, dan lebih tersesat daripada jalan yang betul.”
Daripada ayat di atas dapat kita simpulkan kebenaran teori Islam yang Darwin gunakan iaitu ‘manusia di jadikan dari kera’. Secara biologi memang ia mustahil. Tapi Allah juga kata manusia dijadikan secara akhlaknya semacam beruk, kera, monyet dan seangkatan dengannya. Bagaimana?
Perangai kita yang thogho, mengaku pandai dan 'perasan baik' ini tidak jauh macam kera yang perasan cantik. Allah beri sistem yang baik seperti bunga yang harus kita pakai supaya nampak lebih baik dari asal kita. Oleh itu kita kena berterima kasih dan mengenang budi Allah dengan pemberian sistem yang cantik ibarat bunga itu.
Tapi beruk yang perasan cantik ini suka buang dan renyuk bunga. Sudahlah tak mau pakai, renyuk pulak tu. Lepastu tala punggung dan mengejek kita. Begitulah analogi seterusnya, iaitu jika sistem yang indah itu kita langgar, maka kita akan jadi seperti babi yang menyondol dan melanggar batas (sistem itu).
Itulah akibat hidup tidak ikut aturan Allah dan Allah akan hina kita. Sikap thogho itulah yang menjadikan kita najis dan menjijikkan Allah, sepertimana kita bersikap jijik terhadap babi. Ya, sifat thogho, yang melampaui batas itu yang menjadikan kita musyrik yang Allah katakan najis sehingga dilarang mendekati masjid.
QS: 9 At Taubah 28. Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari karuniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
KESIMPULAN:
Soal fiqah, halal haram tidaklah susah untuk dikenalpasti. Firman dan hadisnya jelas. Isu perlanggaran etika perniagaan juga mudah didakwa. Cuma isu ini sudah dipolitikkan berlebihan. Pegangan hukum adat juga sudah melebihi hukum syarak. Sifat asobiyah dan kedengkian yang berlebihan telah terserlah melalui amalan ejek mengejek, caci maki sehingga menjauhkan diri kita dari Allah melalui amalan harian kita.
Pihak yang sudah tahu mengenai penyelewengan ini namun telah menyembunyikan fakta adalah satu perlanggaran yang melampau biar apa pun alasannya. Syarikat pengeluar pula seperti sengaja mengguris hati pengguna Islam. Mereka tidak langsung nampak bersalah dan memohon maaf, melainkan sekadar berjanji menarik balik produk dan dengan angkuh mengatakan sistem pengeluaran syarikatnya masih terbaik dan berkualiti. Sistem QC terbaik yang bagaimana sehingga unsur yang tidak sepatutnya itu boleh terdapat dalam produk mereka?
Lebih menyedihkan, sebahagian respon anak muda terlalu mengikuti nafsu tanpa merujuk kepada hadis dan quran sama sekali. Kata-kata seperti ‘apalah kolot orang tua sekarang’, ‘aku masih muda, makan saja, tua nanti aku tobat lahhh..’ semuanya amat mengguris hati dan membimbangkan sekali. Boleh dinilai sebanyak mana ilmu di dada, dan iman di hati.
Ejek mengejek melalui cacian bercirikan assobiyah seperti ‘Inilah kilang Cina DAPigs’, ‘ini semua kerja puak BN UMNGOK’ sudah menampakkan hati perut umat kita. Inilah gambaran kebejatan akhlak, perangai kera dan babi yang harus diperbaiki agar kita semua jadi MANUSIA berakhlak mulia di mata Allah.
Muhasabah dan cerminlah diri kita. Hindarilah akhlak kera yang hodoh pada asalnya dan memerlukan bunga untuk dipandang lebih indah dan berakhlak mulia. Jangan sampai jadi musyrik macam babi yang melampaui batas dan dihalang Allah mendekati masjid. Mungkin video ringkas ini boleh membantu kefahaman kita secara analogi. Kekuatan Iman itu terletak kepada kefahaman MUTASYABIHAT (QS:3/7).
Sumber : fb Saiful Nang & Warga Prihatin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan